DISEMBER 2021

Berkhidmat Untuk Luar Bandar Sebelum Bersara: Abg Jo


GEDONG: Perpindahan dari DUN Satok ke DUN Gedong adalah didorong oleh keinginan untuk menyumbangkan jasa bakti di kawasan luar bandar kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari bin Tun Abang Haji Openg.

“Setelah 40 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat di Satok, saya mahu berkhidmat di kawasan luar bandar sebelum saya bersara, ujar beliau ketika berucap kepada para penyokong setibanya di sini petang Ahad.

“Ada pelawaan daripada kawasan lain tapi akhirnya saya mempertimbangkan untuk berpindah ke Gedong,” ujar beliau lagi. 

Datuk Patinggi Abang Zohari tiba di sini sebagai persediaan untuk menghadapi hari penamaan calon esok sempena PRN12 ekoran keputusan beliau untuk berpindah dari DUN Satok ke DUN Gedong setelah diberi laluan oleh penyandang DUN tersebut, iaitu Datuk Haji Naroden Majais.

Beliau ditemani oleh isteri, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang dan ahli-ahli keluarga.

Dalam ucapan tersebut beliau turut mengumumkan Daerah Kecil Gedong sudah dinaiktaraf kepada daerah bersama Daerah Kecil Sebuyau.

Keputusan kabinet untuk menaiktaraf beberapa daerah kecil ke daerah penuh termasuk daerah kecil Siburan dan Balai Ringin ke daerah kecil adalah sejajar dengan tempo pembangunan yang telah meningkat di kawasan-kawasan berkenaan. 

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Datuk Naroden yang ingin bersara namun akan terus membantu untuk membangunkan kawasan Gedong dan persekitarannya.

Datuk Naroden dalam ucapan aluan beliau, mengingat masyarakat di Gedong bahawa Datuk Patinggi Abang Zohari sebagai Ketua Menteri untuk seluruh Sarawak hendaklah berkhidmat untuk seluruh negeri, bukan hanya untuk Gedong. 

Namun, beliau amat berharap agar keberadaan Ketua Menteri sebagai wakil rakyat Gedong akan mempercepatkan pembangunan kawasan tersebut.

Sumber dari : Sarawakku